(part 3: episod akhir) Kisah tetamu AirBNB yang .....

Sambungan....

Akhirnya, pada suatu petang, selepas hampir seminggu Joe menghilang, biliknya disinari cahaya lampu. Lampu menyala dan pintu biliknya terbuka luas. Aku menarik nafas lega. Tak kisah lah di mana atau apa yang terjadi 4-5 hari sebelum ini, yang pasti sekarang Joe ada dan bernyawa. Lega.

Selang beberapa malam kemudian Joe mengetuk pintu studio aku. Dia tanya, aku pandai gunting rambut kah? Aku kata lah tidak pandai.
Tak apalah, kalau begitu saya mahu pinjam gunting, katanya. Rambut dah panjang dan nampak hodoh, katanya lagi. Aku berikan dia gunting.

Tidak berapa lama kemudian Joe memulangkan gunting yang dipinjamnya. Mukanya nampak gembira. Dia agak bubbly malam itu. Baru aku hendak duduk sekali lagi pintu aku diketuk. Aku buka pintu dan Joe terpacul lagi. Dia tanya, cantik tak rambut dia.

Aku tidak nampak beza pun rambut dia dari sebelum potong dengan selepas, tapi untuk menjaga hati, aku cakap lah, wah dah nampak kacak. Cantik dan kemas. Melonjak dia dengar.
Saya potong sikit di bahagian tepi dan depan. Nampak seimbang tak? tanya Joe.
Aku cakap, ok, seimbang.

Aku ingatkan perbualan kami akan tamat disitu, tapi rupanya ada lagi benda dia mahu sembang. Joe tanya pasal suami aku.
Dia main gitar kan? Dia ada di rumah tak? Tanya Joe. Aku kata suami aku kerja sekarang.
Joe cakap, dia ada beli lampu baru, dan dia ada 2 gitar elektrik. Kalau suami aku ada rumah pada bila-bila waktu malam dia hendak ajak jamming di belakang.
Excited sungguh mukanya bila menerangkan rancangannya ini. Aku iya iya kan aja dan suruh dia cakap dengan suami aku bila dia balik nanti.

Joe juga bercerita tentang kerja dia sebagai guitarist. Belakangan ini dia ada jamming setiap malam di suatu tempat ini, agak jauh dari rumah, kena naik tram dan train untuk ke sana.
Sebab itu saya selalu tiada di rumah, katanya. Selalunya awal-awal pagi baru sampai rumah, sebab itu saya macam pening sikit, sambungnya.
Oh begituuu, kataku bila mendegar cerita Joe yang penuh semangat itu.
Tapi tak lama lagi akan tamat job yang itu, hidup saya akan normal balik, sambungnya kemudian.

Oooo patutlah... getus ku dalam hati. Otak aku cuba untuk menyambung kejadian-kejadian yang berlaku belakangan ini dengan cerita Joe. Mungkin sebab itu biliknya selalu gelab, dia tiada di rumah pada waktu malam dan hari siang pula dia penuhi dengan tidur. Itulah penjelasan paling munasabah yang boleh aku fikirkan daripada info terkini yang aku terima. Make sense.

Sebelum Joe gerak ke tempat kerja dia ingatkan aku untuk beritahu suami tentang rancangannya untuk jamming di backyard. Aku gembira melihat Joe happy macam itu. Ceria.

Malangnya, itulah kali terakhir aku melihat Joe.

Selang beberapa malam kemudian kami mendengar bunyi bising orang mengemas dan suara lelaki dan wanita dewasa dari studio Joe. Suara wanita itu agak tegas mengarah-arah itu dan ini. Esoknya aku lihat studio Joe sudah kosong. Aku keliru. Adakah memang sudah masanya dia check out, atau dia keluar awal? Siapakah suara lelaki dan wanita pada malam itu? Adakah ibu bapanya? Atau siapa?

Misteri itu kekal dan tiada jawapan. Sampai sekarang aku tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi pada malam itu. Siapakah yang mengambil Joe?

Yang pastinya, misteri penjumpaan jarum suntikan terjawab selepas itu. Ketika aku melakukan check out inspection di studio Joe, aku menjumpai beberapa bekas bungkusan syringes di dalam kotak sampah bercampur baur dengan bungkusan gula-gula.

Maka terhurailah persoalan utama yang membelenggu kami selama ini. Sememangnya syringes yang aku jumpai di dalam tong sampah sebelum ini adalah milik Joe. Bertambah seram pula bila memikirkannya. Tapi adakah Joe ada mengambil dadah terlarang?

Persoalan itu juga terjawab apabila aku berbual dengan salah seorang penyewa tetap rumah ini. Kita namakan dia Phillip. Pada malam yang Joe membawa wanita pulang itu, (ingat tak, malam yang aku masak bergedil dan tak dapat bukakan pintu rumah tu) Phillip lah yang telah membukakan pintu. Menurut Phillip wanita itu nampak tidak normal. Under influence, katanya.

Phillip juga berkongsi kisah dari sisi nya. Katanya, dia rasa tidak selamat meninggalkan isterinya berseorangan di rumah sepanjang Joe berada di sini. Aku balas, aku apatah lagi. Memang selalu berdua saja di rumah pada waktu malam kerana suami aku kerja. Bukan itu sahaja, studio aku sebelah studio Joe!

Aku cerita juga pada Phillip, yang Joe sebenarnya jarang ada di rumah. Yang kami lebih concern adalah segala benda-benda pelik lain yang berlaku. Terutama sekali waktu Joe tidak kelihatan selama hampir seminggu tetapi biliknya sentiasa gelab dan pintu studionya tidak bertutup rapat. Apa sebenarnya yang berlaku pada waktu itu masih kekal misteri.

Aku juga ceritakan pada Phillip tentang bagaimana aku jumpa jarum suntikan terpakai di dalam tong sampah. Itu lah titik tolak aku mencurigai semua tetamu rumah ini. Phillip kata tak ada orang lain, memang dia dah syak si Joe ini dari awal. Kalau bukan dia pun yang guna, wanita yang dia bawa pulang pada malam itu pasti guna. Yakin benar Phillip dengan konklusi yang dibuatnya. Semuanya berdasarkan apa yang dia lihat dan alami sendiri. Aku macam biasa iya kan aja.

Uniknya selepas apa yang terjadi pun aku masih tidak menunding jari kepada sesiapa. Aku tetap menyimpan pendapat aku dalam-dalam. Bukan tempat aku untuk menghukum dan mengadili dosa orang. Tapi sebagai pengurus resident, menjadi tanggungjawab aku untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan semua penyewa.

Selaku pengurus resident, apa yang perlu aku lakukan seterusnya adalah post mortem dan strategi pencegahan untuk kemudian hari.

Setelah berbual dan meminta pendapat dari semua penyewa tetap rumah ini, aku akhirnya memberi kata dua kepada tuan rumah. Semua penyewa telah sebulat suara menyatakan pendirian mereka. Secara asasnya, semua penyewa enjoy menerima tetamu AirBNB. Kami jumpa banyak orang baik-baik. Ada yang jadi kawan, ada juga yang jadi uncle kami di sini. Tapi semua penyewa tidak mahu kejadian ini berulang kembali. Aku juga secara peribadi tidak mahu lagi mengalami pengalaman seperti ini lagi. Cukup lah sekali!

Ini lah kali pertama kami mengalami kejadian tak terduga dengan tetamu AirBNB. Biarlah ia menjadi yang pertama dan terakhir. Tuan rumah telah berjanji untuk membuat saringan lebih ketat dalam memilih tetamu untuk menginap di sini.

Di samping itu, persatuan penyewa tetap juga telah membuat House Rules baru demi memastikan keamanan dan kesejahteraan rumah ini. Mereka menegaskan bahawa rumah ini perlu menjadi lebih family friendly dan kids friendly. Hanya keluarga sahaja diterima untuk menginap di sini.

Baru sahaja minggu lepas aku uruskan checked in emak beserta 2 anak dari China untuk menginap selama sebulan. Sebelum mereka, studio itu diduduki oleh emak dan 2 anak juga, Aussie. Dah macam pattern pula, mak dan anak. Pattern yang baik. OK lah. Semua orang gembira.

Begitulah kisahnya tetamu AirBNB yang dot dot dot. Kalian boleh lah lepas ini isi sendiri perkataan yang sesuai pada dot dot dot tu.


Jadi adakah Airbnb tidak selamat untuk host dan tetamu?

Kalian jangan takut pula untuk gunakan AirBNB kalau pergi bercuti. Sebenarnya banyak kelebihannya menggunakan AirBNB. Dari segi keselamatan sebenarnya AirBNB sangatlah selamat. Jika ada isu yang tak boleh selesai dengan host, kita boleh menghubungi Airbnb dan mereka boleh berikan penyelesaian.

Sama juga bila kami ada isu dengan tetamu seperti ini, kami menghubungi AirBNB untuk menyelesaikannya. Setelah memberi segala bukti, host mendapat pampasan dan tetamu itu telah di banned dari menggunakan khidmat AirBNB. Bukan lah niat kami untuk banned tetamu itu, terutama sekali bila kami sendiri tahu yang menempah studio itu adalah bapa Joe, bukannya Joe sendiri. Tapi hendak buat macam mana kan?

Bukti telah jelas dan nyata. Tindakannya reckless, cuai, dan membahayakan penyewa yang lain. Tindakan bapa Joe dan Joe yang tidak berterus terang dari awal kondisi yang sebenar telah meletakkan penyewa lain dalam keadaan tidak selamat dan penyewa lain berasa tidak aman. Ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya terjadi.

Tindakan kami membuat laporan kepada Airbnb adalah demi keselamatan dan kesejahteraan host-host Airbnb yang lain juga. Agar tidak terkena dengan tetamu seperti ini. Keputusan Airbnb untuk banned tetamu seperti ini juga berdasarkan alasan yang serupa. Agar ia tidak berulang kembali.

Bagi aku ia adil.

Dan kejadian ini telah melakar satu corak dalam papan lukisan pengalaman aku. Menjadi sumber idea untuk menulis dan bercerita.



Sekian.


Noor Hida
Carlton North








Comments

popular posts last week

TIPS MEMAKAI KOLEKSI SKIRT HITAM (dan tips travel!)

Hari simen kaki ku dibuka

Kenapa aku pilih untuk tidak balik konvo: The day my heart holding back.

cerminku retak seribu

breakfast @ hailam kopitiam

petshop kat seksyen 9 Shah Alam (tapi cerita premium cat food pulak)