Menempah penginapan percutian dengan AirBNB

Aku pernah bercerita pada seseorang yang semasa aku sekeluarga tiba di Melbourne, kami duduk di AirBNB selama hampir sebulan. Terkejut beruk seseorang itu. Reliable eh AirBNB ni? Tak mahal ke?

OK. Biar aku beritahu satu rahsia. Sebenarnya, kalau pandai cari, kita memang boleh dapat tempat penginapan yang baik pada harga yang sangat berpatutan di AirBNB, terutama sekali kalau kita berhajat untuk tinggal melebihi 2 hari di tempat tersebut. Dari segi reliability, bagi aku AirBNB sangat reliable sebab kita boleh tengok review tempat penginapan itu dan kita boleh berkomunikasi dengan host sebelum anda booking. Walaupun kadang-kadang memang ada kes orang tertipu dengan AirBNB (jarang), dan ada kes host cancel booking last minit (kadang-kadang), itu semua adalah kes terpencil.

Untuk yang kali pertama hendak menggunakan AirBNB, aku faham, memang akan rasa ragu-ragu dan risau sedikit (mungkin risau banyak) untuk menempah rumah percutian melalui AirBNB. Maklumlah, 95% penginapan dalam AirBNB dioperasi oleh individu, bukan hotel dan resort komersial. Aku pun dulu rasa ragu-ragu dan risau juga. Tapi atas tunjuk ajar dan nasihat orang yang dah selalu guna, semuanya berjalan dengan lancar.

Antara penginapan percutian yang tersenarai dalam AirBNB. Harga itu adalah untuk 2 malam, jadi sangat berbaloi-baloi.


Kat sini aku nak kongsi 7 tips untuk anda praktikkan untuk mendapatkan penginapan percutian yang murah dan selamat di AirBNB.

1. Tetapkan jenis penginapan 
Ada 3 jenis penginapan yang terdapat di AirBNB: entire place, private room, dan shared room. Jadi jika anda backpackers secara solo atau berdua, mungkin ada tidak perlu menempah entire house. Harga untuk private room atau shared room jauh lebih murah dan ekonomik untuk anda. Tapi jika anda bercuti sambil membawa keluarga serta sanak saudara, sudah tentulah pilihan penginapan adalah entire house. Lebih praktikal, selesa, dan luas untuk menampung semua orang.


3 pilihan jenis penginapan yang ada. Sebaiknya awal-awal filter benda ni supaya anda tak terkeliru.


Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa beza antara private room dan shared room? Private room adalah bilik yang disewakan oleh host di dalam rumah mereka. Dengan kata lain host tinggal di rumah yang sama bersama anda dan anda mungkin akan berkongsi ruang tamu, ruang bacaan dan media, dapur, dan backyard. Kemungkinan juga anda akan berkongsi bilik air dengan host. Jika host ada beberapa bilik yang disewakan di dalam rumahnya, anda akan berkongsi semua ruang umum dengan tetamu yang lain. Jadi ruang yang anda tak kongsi adalah di dalam bilik anda sahaja.

Shared room pula adalah bilik yang menempatkan beberapa biji katil. Mungkin ia berbentuk dorm, mungkin juga tidak. Ada sesetengah shared room adalah berbentuk seperti penginapan backpackers. Jadi anda akan berkongsi bilik dan segala ruang umum dengan tetamu yang lain. Harganya sudah tentu lebih murah berbanding entire house atau private room. Anda mungkin akan berkongsi bilik yang sama dengan tetamu yang lain, tapi mungkin juga tidak. Jika tidak ada tetamu lain pada masa itu, anda akan memiliki bilik itu seluruhnya.

Mungkin bilik kongsi, mungkin juga tidak. 

Satu lagi yang perlu diambil perhatian adalah pelbagai jenis rumah yang ditawarkan bila anda memilih entire place. Ini juga penting kerana ia mempengaruhi keselesaan dan privacy anda. Untuk kategori entire place, anda akan menemui senarai seperti entire cabin, entire house, atau entire apartment. Bunyinya macam sama sahaja tapi sebenarnya ada sedikit berbeza. Anda perlu baca detail tentang tempat itu betul-betul demi mengelak kehampaan.

Untuk entire cabin, biasanya anda akan mendapat keseluruhan cabin. Cabin boleh jadi single cabin, atau attached cabin yang melekat dengan rumah induk. Anda akan mendapat sekeluruhan ruang cabin anda, tapi anda mungkin akan berkongsi halaman dan backyard dengan tuan tanah, bergantung pada maklumat yang diberikan. Kadang kala, walaupun cabin yang disewakan melekat dengan rumah induk, host akan menginap di rumah lain jika anda inginkan privasi. Anda boleh dapatkan matlumat lebih lanjut dengan menghubungi sendiri host. Entire cabin boleh jadi sama ada anda akan berkongsi halaman dengan tuan tanah, atau dengan tetamu cabin yang lain (jika host itu ada beberapa cabin di tanah yang sama), atau boleh jadi keseluruhan property khas untuk anda!

Dari segi harga, kadang kala cabin lagi murah dari shared room atau private room, bergantung pada lokasi dan kemudahan yang disediakan.

Contoh penginapan entire cabin

Begitu juga keadaannya dengan entire apartment. Ada host yang menjadikan tingkat atas rumahnya sebagai AirBNB. Jadi anda akan mendapat sekeluruhan tingkat atas (satu apartment), manakala tingkat bawah diduduki oleh host. Ada juga host yang membuat guess house bersebelahan dengan rumah induk, dan ada juga host yang mengkomersialkan keseluruhan rumahnya untuk AirBNB dan menyewakan setiap bilik apartment (self-contained) secara individu. Maksudnya dalam rumah yang besar itu ada beberapa bilik apartment. Jadi pastikan anda baca detail betul-betul ya.

Yang belah kanan tu contoh entire apartment. Apartment biasanya studio unit, tapi ada juga yang mempunyai bilik. Kadang-kadang ada penginapan yang unik di AirBNB. Contohnya macam yang kiri tu, campervan. Menarik kan?

Jika anda mahukan complete privacy, carilah penginapan yang menawarkan entire house. Rumah begini biasanya merupakan vacation house host tersebut dan dia menyewakan keseluruhan property nya untuk anda. Jadi anda akan dapat rumah, backyard, garden, dan seluruh property untuk anda dan keluarga anda. Host biasanya tidak tinggal di situ dan ada juga yang tinggal jauh dari vacation house mereka. Complete privacy!

Entire vacation house untuk anda sewa. Seluruh property adalah untuk anda sekeluarga tanpa perlu berkongsi dengan orang lain.


2. Booking awal
Satu rahsia tentang AirBNB adalah, kebanyakan rumah penginapan menawarkan harga sehingga 30-40% lebih murah dari harga biasa apabila di tempah 3-4 bulan lebih awal dari tarikh. Jadi nasihat aku,  rancang perjalanan awal, buat itinerary awal, dan mula mencari rumah percutian sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum tarikh. Di bawah ini aku ada tunjukkan satu contoh:

Ok kita ambil contoh listing rumah ini. Harga A$84/ night adalah harga paling murah yang ditawarkan oleh host, bergantung pada terma dan syarat (bergantung pada tarikh dan masa tempahan dibuat). Please note that lepas ni aku akan jadikan listing ni sebagai bahan ujikaji.


Contoh 1: booking 2 malam, 3 minggu sebelum tarikh.
Cubaan pertama, kita masukkan tarikh tempahan dalam bulan yang sama. 20/12/2017 adalah 3 minggu dari sekarang. Cuba tengok, harga yang ditawarkan adalah A$157/ night. Tambah cleaning fee dan service fee, total jadi A$427. 


Contoh 2: booking 2 malam, hampir 3 bulan sebelum tarikh.
Apabila tarikh booking ditukar kepada 23/2/2018, iaitu hampir 3 bulan dari sekarang. Harga yang ditawarkan sudah jatuh menjadi A$107/night maka total price adalah A$315. Nampak tak di situ permainannya?

Oleh itu, kalau nak jimat, buatlah perancangan awal!


3. Menginap lama
Kebaikan lain membuat perancangan dan itinerary percutian awal adalah, anda masih flexible untuk mengubahsuai jangkamasa percutian anda. Kebanyakan listing di AirBNB menetapkan had minimum tempahan kepada 2 malam. Ada juga host yang menetapkan minimum 7 malam tempoh menginap supaya mereka boleh absorb sebahagian besar kos cleaning. Sebenarnya memang tak praktikal dan ekonomik kepada anda dan host jika anda hanya merancang untuk tinggal di AirBNB 1 malam sahaja. Ini kerana, rumah yang disenaraikan diselia sendiri oleh individu dan biasanya mereka tidak kenakan harga yang tinggi untuk cleaning fee. Jika anda hanya mahu tempat persinggahan untuk bermalam sehari, lebih baik anda booking hotel sahaja kerana airBNB kurang sesuai untuk anda.

Kebanyakan listing juga akan memberi lebih banyak diskaun jika anda hendak menginap lebih dari 3 hari, 7 hari, 14 hari, dan 28 hari. Aku pernah tinggal di sebuah private room Airbnb bersama host dan seorang lagi tetamu dari Perancis. Tetamu Perancis tersebut mendapat harga sewa yang jauh lebih murah daripada aku (lebih kurang 35% lebih murah/ day) kerana dia telah booking biliknya 6 bulan sebelum tarikh dan kerana dia dah sewa bilik itu untuk 3 bulan setengah. Key word: booking awal, booking lama.

Di sini aku akan tunjukkan bukti sebagai contoh. (menggunakan listing contoh yang sama dengan yang mula-mula). Kalau sebelum ini aku tunjuk contoh booking untuk 2 malam, kali ini aku tunjukkan apa akan jadi kalau kita booking untuk 6 malam. 


Contoh 3: booking 6 malam, 3 bulan sebelum tarikh. 
Tengok, bila booking untuk 6 malam, harga sudah jatuh menjadi A$97/ night. Jimat A$10/night. Ajaib kan?


Contoh 4: booking 6 malam, 3 minggu sebelum tarikh.
Kalau booking untuk 6 hari pada tarikh dalam bulan yang sama pun, harga jauh lagi murah daripada kalau kita booking untuk 2 malam dalam bulan yang sama. Bandingkan A$101/night dengan A$157/night. Jauh bezanya. Anda jimat A$56/night. 

Jadi nasihat aku, untuk mendapatkan harga yang murah anda boleh samada booking awal gila, atau booking penginapan untuk jangkamasa yang lama.


4. Gamble, booking last minit. 
Ada satu lagi trick AirBNB ni, macam booking flight kapal terbang juga lah, ada hari lebih murah dari hari yang lain. Secara asasnya, harga untuk weekdays adalah lebih rendah dari harga weekends.

Ada juga keadaan dimana apabila semakin hampir dengan tarikh, listing menjadi semakin murah. Anda boleh perasan yang penginapan akan drop harga ke botton price apabila tarikh check-in kurang dari 2 minggu. Tapi ini macam gambling juga lah. Nasib lah kalau masih ada lagi penginapan yang available pada tarikh yang anda nak. Kalau ada, anda memang paling beruntung sekali. Kalau anda merancang untuk menginap di kawasan yang popular dikalangan pelancong, atau bercuti ketika musim cuti sekolah, mungkin teknik ini agak bahaya dipraktikkan kerana anda berisiko untuk tidak mendapat mana-mana tempat penginapan kerana semuanya telah penuh. Lebih-lebih lagi jika anda merancang membawa keluarga yang ramai. Jangan cari pasal... dibuatnya semua penuh, naya ja semua tidur di airport. Tapi kalau anda suka gambling, anda mesti sukakan kaedah saya ini.

Menggunakan listing yang sama, di sini aku akan tunjukkan satu contoh:

Contoh 5: Booking 2 malam, kurang 2 minggu sebelum tarikh, WEEKDAYS.
Nampak tak harga 1 malam akhirnya mencecah bottom price A$83/ night tu? (harga as advertised). Hari ini 8hb, anda nak booking untuk 20hb. Kurang dari 2 minggu. Total termasuk cleaning dan service fee cuma jadi A$259. Bandingkan dengan contoh 1 iaitu A$427, anda sudah jimat A$168. Satu perjudian yang menguntungkan. LOL!

Satu sahaja nasihat aku, kalau taknak ambil risiko penginapan penuh, abaikan tips ini dan aplikasikan tips 2 dan 3 sahaja. Teknik ini hanya untuk yang berhati kering dan mungkin tidak sesuai untuk rombongan cik kiah. Kalau bawa rombongan, jangan buat risiko!


5. Tengok review
Kadang-kadang, ada penginapan yang menawarkan harga yang sangat murah stok-stok harga macam tak percaya. Untuk yang bajet ketat,  bila jumpa penginapan murah-murah macam ni, terus rasa macam kena grab cepat-cepat. Nanti dulu. Sebelum booking, tengok review dahulu. Ada beberapa sebab mengapa sesetengah penginapan itu murah. Pertama, mungkin ini listing baru, jadi tak ada review lagi. Kedua, mungkin review rumah ni agak teruk. Ketiga, mungkin ia memang murah kerana ia sebenarnya bilik kongsi (shared room). Macam aku cakap kat atas, kalau anda travel solo dan tak kisah berkongsi bilik dengan traveler lain, ini adalah satu peluang yang jangan dilepaskan.

Jika rumah itu merupakan listing baru, terpulang pada anda, hendak cuba atau tidak penginapan tersebut. Tapi cadangan aku, jika anda kali pertama mencuba menggunakan AirBNB, sebaiknya pilihlah listing yang dah ada banyak review dan review pun baik-baik belaka.
Listing contoh kita ni dapat 77 review, 4 bintang lebih secara keseluruhan, dan host adalah superhost. Its a good catch..


Rajin-rajinkan diri untuk baca review satu persatu. Lagi banyak review positif, lagi baik. Ini menunjukkan yang rumah itu aktif menerima tetamu dan host itu sudah berpengalaman dalam AirBNB.

Ini lah juga sebabnya mengapa anda perlu merancang itinerary seawal mungkin. Biasanya aku ambil masa berminggu-minggu untuk menempah sebuah rumah percutian di AirBNB bermula dengan survey kawasan, membuat shortlist penginapan yang aku minat, dan kemudian saring satu persatu dengan membaca semua review. Bayangkan jika anda baru nak cari penginapan last minute, kemungkinan besar anda akan skip satu atau 2 langkah. Mungkin ada review yang anda terlepas pandang. Mungkin anda tak perasan rumah itu tak ada review langsung atau banyak review buruk. Jadi, take your time, relax, dan buat satu persatu. Jangan rush. Mulakan awal.

Biasanya aku akan shortlistkan 10 buah penginapan yang aku minat mengikut kriteria yang aku kehendaki, dan aku akan selalu perati shortlist aku ni sampai tiba masa harganya drop, baru aku contact host dan booking.


6.  Skodeng host.
Sebaiknya, booking lah penginapan dari superhost. Superhost ni apa? Aku nak terangkan nanti panjang lebar sangat pula, jadi aku ringkaskan sedikit, lepas tu anda boleh rujuk pada gambarajah yang aku attach di bawah untuk memahami lebih lanjut.

Pendek kata, superhost adalah badge untuk host yang aktif dalam AirBNB sebagai host dan sebagai guest. Host begini menerima lebih dari 80% 5 bintang dalam reviews, pantas dan efficient dalam memberi respond apabila orang menghubungi mereka (90% response rate), dan jarang sekali cancel reservation tetamu. Dengan kata lain, host macam ni sangat reliable dan anda perlu utamakan host macam ni jika anda inginkan pengalaman yang menarik dan selamat sepanjang menggunakan service AirBNB.

Jika anda kali pertama menggunakan AirBNB, pilihkan penginapan yang ditawarkan oleh superhost untuk peace of mind.



7. Menghubungi dan berkomunikasi dengan host
Akhir sekali, lokasi dah perfect, harga dah cantik, review bagus, host nampak reliable dan dapat title superhost, anda rasa macam ok lah dah boleh book. Nanti dulu. Ada satu langkah terakhir yang anda perlu buat untuk memastikan yang anda membuat pilihan yang tepat, iaitu berkomunikasi dengan host.

Terdapat 2 jenis booking di AirBNB. Ada sesetengah host membenarkan anda untuk direct booking dan membuka aplikasi instant book. Sebahagian lagi pula (terutama sekali jika listing tersebut adalah private room, shared room, atau rumah percutian mewah) memerlukan anda untuk contact host personally dan 'request to book'. Host macam ni nak berkenalan dulu dengan anda sebelum bagi anda duduk rumah dia. Ini juga satu peluang yang baik untuk anda mengenali host dengan lebih rapat. Dengan cara ini, kita boleh tahu dengan orang bagaimana kita akan berurusan atau tinggal bersama.
Listing yang ini mengkehendaki anda untuk menghubungi mereka untuk request to book. Cerita lah sedikit tentang diri anda atau kumpulan anda dan beritahu sebab mengapa anda hendak menginap di rumah dia. (Listing ni adalah listing baru. Sebab itu baru ada 2 review. Nak pilih atau tidak? You decide)

Listing yang ini boleh direct book tanpa perlu berkomunikasi dengan host. Tapi aku cadangkan anda contact juga host sebelum anda booking. Sekurang-kurangnya anda tahu berapa cepat host itu respond pada mesej anda, dan bagaimana gaya berurusan dengan dia. Ini penting untuk build trust antara anda sebagai bakal tetamu dengan host/ tuan rumah. (Perhatikan juga listing ini mendapat 16   review 5 bintang dan host nya adalah superhost. Recommended)


Tips aku, walaupun penginapan yang anda hendak booking itu boleh instant book, hubungi juga host terlebih dahulu. Perkenalkan diri anda, dan inform pada dia yang anda hendak booking sekian sekian tarikh, dan anda akan datang seramai berapa orang. Be transparent dan be honest. Cara ini bagus untuk mengurangkan chances booking anda di cancel oleh host. Ada banyak sebab mengapa host cancel kan booking anda. Kadang-kadang host tak dapat nak terima guest pada tarikh yang anda nak booking tu, tapi dia tak dapat nak update di dalam AirBNB. Jika anda ada special requirement, seperti ada bayi, atau kanak-kanak, senior citizen atau orang kurang upaya, adalah penting untuk anda berterus terang dan beritahu semuanya semasa berkomunikasi dengan host.

Kadang-kadang host tidak mahu ambil risiko menerima tetamu yang mungkin tidak sesuai untuk menginap di rumah mereka. Mungkin rumah dia ada tetamu lain yang tidak selesa dengan tangisan bayi di waktu malam. Mungkin juga bilik yang disewa terletak ditingkat atas dan rumah dia ada tangga yang tinggi sehingga menyukarkan warga emas atau kurang upaya untuk bergerak. Jadi sebagai bakal tetamu, sila lah menjadi jujur kerana ia adalah untuk keselesaan percutian anda juga.


Nasihat.
Akhir sekali, aku ada dua nasihat yang hendak diberi kepada bakal tetamu di AirBNB.

Pertama, silalah berlaku jujur. Ada banyak kes yang berlaku apabila tetamu telah booking sebuah penginapan di AirBNB untuk 4 orang dewasa tapi bila tiba hari check-in, tetamu itu rupanya tiba dengan 6 orang dewasa. Ini adalah satu perangai yang keji hokeh. Anda telah menyusahkan host dan secara tak langsung telah merosakkan hubungan baik anda dengan host. Apabila host kata rumahnya hanya memuatkan maksimum 3 orang, anda jangan lah tipu kata anda datang 3 orang tapi rupanya nak seludup masuk lagi 3 orang. Jadahlah kan.. Cheapskate gila perangai kau. Memang lah anda kata anda tak kisah 2 orang lagi tidur di ruang tamu dengan sleeping bag, tapi masalahnya itu rumah host dan dia kisah! Anda membuatkan host berasa serba salah dan silap-silap, mungkin anda akan dihalau dan tidak dibenarkan untuk menginap di situ. Paling-paling, sebagai tetamu anda akan mendapat review yang teruk di dalam AirBNB dan kemungkinan besar host lain pun tak mahu menerima anda sebagai tetamu selepas ini sebab anda dah terkenal sebagai seorang yang suka menipu dan cheapskate.

Kedua, hormatilah rumah host. Anda kena ingat ye, yang rumah yang anda duduki itu adalah rumah individu. Adab duduk rumah orang, kena lah pandai bawa diri dan pandai jaga peribadi. Barang orang jangan nak usik-usik sesuka hati. Kalau dia bagi guna dapur, pastikan anda bersihkan semula selepas masak. Pinggan mangkuk lepas guna, pandai-pandai lah cuci, lap, dan simpan semula dalam almari. Alamak takkan ini pun nak diajar. Paling penting bilik air. Kalau bilik air dia adalah jenis dry, jangan lah pula anda menimba dalam tu sampai banjir. AirBNB bukan hotel dek... konsep dia adalah macam kita tumpang duduk rumah orang, tapi berbayarlah sebab orang tu bukan buat amal nak masuk syurga. Jangan pula anda kata, eh aku bayar lah, suka hati aku lah nak buat apa pun dalam rumah itu. Kalau macam tu mentaliti anda, rasanya anda tak sesuai langsung duduk di AirBNB (mungkin tak sesuai pergi mengembara langsung). AirBNB adalah untuk orang yang beradap dan mementingkan hubungan antara manusia. Kalau nak buat perangai tak civilized atau nak bawa status tinggi anda kesana kemari, mungkin anda perlu cari penginapan lain.

Akhir kata, jangan takut mencuba sesuatu yang baru. Kali pertama cuba memang semua perasaan ada. Tapi kalau dah biasa, benda tu jadi macam makanan. Aku sukakan AirBNB kerana ia ada touch of human dan kalau anda seorang pengembara, anda akan dapat merasai lebih pengalaman dan lebih dekat dengan masyarakat dan kehidupan mereka. Seronok rasanya dapat merasai secebis kehidupan orang lain di rumah kediaman mereka. Perasaannya tidak sama seperti tinggal di hotel atau hostel.

Ok lepas baca artikel aku yang panjang berjela ni harap-harap anda semua confident lah untuk menggunakan service AirBNB.


Sign up Airbnb untuk dapatkan AUD55 travel credit PERCUMA
Ok sekarang aku nak bagi anda semua travel kredit percuma untuk bagi semangat untuk anda anda semua pergi bercuti. Untuk yang kali pertama hendak mencuba Airbnb, dan tak pasti website mana yang betul, atau tak pasti macam mana nak mula, boleh click link dibawah ini untuk mendaftar ke Airbnb: 

www.airbnb.com.au/c/nlazzulibleu
(Dijamin website yang betul dan legit. Percuma AUD55 travel credit kedalam akaun Airbnb anda setelah mendaftar. Untuk pendaftar kali pertama sahaja) 

Jangan lupa, langkah pertama adalah, SIGN UP AKAUN AIRBNB anda!

Untuk pendaftaran kali pertama dengan menggunakan link di atas, anda akan mendapat AUD55 Airbnb travel credit PERCUMA! (Untuk pengguna kali pertama/ kali pertama sign up sahaja tau)


Lepas sign up boleh lah mula browse tempat penginapan dan praktikkan 7 tips yang diberi di atas! Travel credit itu bolehlah digunakan untuk membayar penempahan penginapan anda nanti. Best kan?

Sampai jumpa lagi dan selamat mengembara!


Noor Hida Halim
Carlton North, Vic.



Comments

popular posts last week

TIPS MEMAKAI KOLEKSI SKIRT HITAM (dan tips travel!)

Hari simen kaki ku dibuka

Kemas kini gambar passport anak anda

bon voyage!!

Kenapa aku pilih untuk tidak balik konvo: The day my heart holding back.

petshop kat seksyen 9 Shah Alam (tapi cerita premium cat food pulak)