Jiwa kembara di sudut hati kecilku

Awal bulan haritu aku dan suami ke Sabah meluaskan pandangan. Well, obviously, cerita tentang Melbourne belum habis, dan sebenarnya bulan lepas pula kami ada ke Kuala Selangor mencari kelip-kelip kampung Kuantan serta berkelah di Templer Park. Ternyata kini daya penulisanku semakin lembab. Atau mungkin juga aku merantau lebih kerap dari aku menulis.


Tak tahu mana nak mula, adakah aku perlu sambung cerita Melbourne (aku belum sentuh betapa nyamannya Phillip Island, kangaroo yang manja, penguin yang tersangatlah comel, serta University Of Melbourne yang terkemuka) atau perlu aku cerita tentang keindahan kelip-kelip kampung Kuantan, ketamakan Long Tail Macaque di Bukit Malawati, atau dinginnya air terjun di Templer Park? Atau aku perlu ceritakan betapa dingin dan segarnya udara di Kundasang, dengan sayur-sayuran yang subur mekar, ladang lembu saujana mata memandang, dan pemandangan indah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.


Tidak kira lah, ke luar negara atau dalam negara, mengembara sentiasa sangat mengujakan dan sentiasa memberi sesuatu yang baru. Tidak ada istilah perjalanan yang membosankan, apatah lagi perkataan "tiada apa yang menarik" sesekali tidak pernah terlintas di fikiran. Mengembara tidak sama seperti melancong, seperti mana pengembara bukan seperti pelancong.


Pengembara sentiasa mencari pengalaman, tetapi pelancong hanya mencari apa yang ingin di lawati. Pengembara melihat peta. Dari peta ia menanda dari mana hendak kemana. Sepanjang perjalanan ia menimba pengalaman, merasai sesuatu yang baru, memahami suasana dan tempat. Pelancong melihat tarikan untuk dilawati, mereka datang, merakam memori di lensa, dan kemudian pergi. Bagi mereka jika sudah tiba kira jadi. Jika menarik mereka puji jika mengecewakan mereka keji. Bagi pengembara, segalanya adalah inspirasi pengalaman semulajadi.


Aku tidak dapat lari dari sikap pelancong kadang kala. Tempat tidur mesti nak selesa, bilik kena lah 'presentable', bilik air wajib bersih, dan keselesaan kadang kala menghapus jiwa kembara ku. Nasib baiklah aku tidak memilih makan. Bagilah apa sahaja yang ada, asalkan halal akan ku lahap. Tak jumpa nasi sebulan pon aku ok. Lagi suka adalah.


Satu lagi perkara perlu disemat kemas-kemas dalam otak bila mengembara, jangan sekali-kali lupa bahawa tempat yang anda tiba itu berkeadaan sedemikian rupa untuk keselesaan penduduk tempatannya, bukannya untuk anda. Lupakan keluhan, hayati lah setiap pengalaman. Jika anda elak makanannya, elak masyarakatnya, elak bahasanya, elak tradisinya, maka adalah lebih baik anda duduk di rumah sahaja.





Comments

popular posts last week

Hari simen kaki ku dibuka

TIPS MEMAKAI KOLEKSI SKIRT HITAM (dan tips travel!)

bon voyage!!

Kemas kini gambar passport anak anda

Cerita Hantu asrama lagi (mimpi berdarah)

Kenapa aku pilih untuk tidak balik konvo: The day my heart holding back.