Menghasilkan taugeh yang cantik di rumah

Tak lengkap lah lockdown kalau tak cuba buat taugeh di rumah, betul tak?

Sebenarnya dah 3 tahun aku membuat taugeh sendiri. Dulu aktiviti membuat taugeh di rumah belum popular lagi. Dek kerana uniknya pembuatan taugeh ni, aku pun cadangkan lah pada community garden untuk buat workshop pasal "grow your own sprouts and microgreens". Tak sangka pula ada sambutan. Community garden pun berilah beberapa slot untuk workshop aku yang bertajuk "grow your own sprout". Rupanya orang Melbourne pun suka buat dan makan taugeh.

Taugeh yang dibeli cepat rosak

Sebenarnya, aku mula membuat taugeh sendiri kerana taugeh di sini agak mahal dan biasanya dah tak segar, cepat soggy dan tak boleh simpan lama. Lepas 2 hari plastik dibuka mesti dah mula berair dan lembik. Oleh kerana aku suka makan dan masak taugeh, kerap lah aku beli taugeh tapi biasanya tak sempat habis guna dah rosak. Kena beli lagi dan lagi. Bila dah kerap sangat beli taugeh, datanglah idea untuk buat sendiri.

Taugeh yang dibeli, belum habis guna dah rosak..

Membuat taugeh sendiri di rumah

Buat taugeh ini sebenarnya mudah sahaja. Bahannya pun sedikit dan murah. Kalau duduk oversea, memang berbaloi buat taugeh sendiri. Tutorial pun melambak di internet. Pendek kata semua orang boleh buat taugeh.

Tapi, ada orang buat jadi, ada orang buat tak jadi. Kenapa?

Apa yang menjadikan taugeh orang ni menjadi, taugeh orang tu tak berapa menjadi? 

Ha, itulah dia. Rupanya ada tips-tips rahsia dalam menghasilkan taugeh yang cantik. Itulah yang aku nak share harini. Baca sampai habis ye. Semoga bermanfaat.

Jom belajar buat taugeh yang cantik ni~

Bahan yang diperlukan adalah:

  • Kacang hijau (mung bean)
  • Tapis plastik
  • Besen (atau boleh juga guna mangkuk)
  • Kain/ face towel/ tea towel/ towel good morning
  • Pinggan mangkuk sebagai pemberat
  • (optional) plastik hitam

Langkah-langkahnya adalah:

  • MERENDAM
    1. Rendam segenggam kacang hijau semalaman (atau 24 jam) dengan air suam. Ganti air dalam 2 atau 3 kali. Tak apa kalau air suam tu menyejuk. Kita nak galakkan kacang tu bercambah je. Kalau tak buat step ni pun tak apa tapi nanti taugeh lambat tumbuh. Jangan guna air mendidih, jadi bubur kacang hijau la pula nanti. 
    2. Bilas dan tos kan kacang hijau itu. Lepas rendam semalaman, kacang hijau akan membesar, biasanya 2 kali ganda dari saiz asal. Ada yang dah mula nampak mahu bercambah. (Bergantung kepada keadaan cuaca dan klimat tempat tinggal anda. Kalau cuaca sejuk, lambat sikit ia nak bercambah). 
  • MENYEMAI
    Menyemai kacang hijau di dalam tapis

    1. Taburkan kacang hijau dan ratakan selapis dalam tapis plastik. Ada orang tanya kalau guna kolander stainless steel tu boleh kah? Entah lah, tak terfikir selama ni nak pakai colander stainless steel tu walaupun aku ada. Gigih aku mencari tapis plastik ni kat kedai Asia tau~ hahaha!
    2. Seterusnya, basahkan kain towel dan tutupkan kacang hijau dengan kain towel basah tersebut. Tutup sepenuhnya ye. Jangan ada yang terkeluar.
    3. Lalukan tapis berisi kacang hijau yang telah ditutupi kain dibawah air paip. Kita siram dia. Pastikan semua kawasan kena. Air paip ni maksudnya air paip biasa ye. Bukan air panas. Kalau di Malaysia, kalau tak confident dengan tahap kebersihan/ ketulinan air paip, aku galakkan guna air dari penapis air.
    4. Lepas siram, ambil pinggan atau mangkuk atau apa-apa yang kita nak guna sebagai pemberat dan letakkan di atas towel basah tadi. Lebih berat pemberat lebih gemuk lah taugeh kita nanti. Kalau tak ada pemberat, taugeh akan jadi kurus-kurus dan panjang. Tak cantik.
    5. Kemudian, ambil mangkuk atau besen dan letakkan di bawah tapis. Ini gunanya untuk menakung air yang menitis dari tapis semaian kita. besen atau mangkuk ini mesti lebih kecil dari tapis kita tu ye. Kita nak air menitis ke dalam mangkuk ini. Tak mahu kacang duduk dalam air bertakung.
    6. Lepas tu, kalau ada plastik hitam boleh lah bungkus semuanya (tapis semaian taugeh beserta besen penakung air kita) dengan plastik hitam sebelum meletakkannya di bawah sinki. Kalau tak ada plastik hitam pun tak apa. Boleh letak terus di bawah sinki. Tapi pastikan tempat tu betul-betul gelab ye. Biar dia duduk dalam cabinat tu diam-diam. Kenapa kena dalam cabinet bawah sinki? Sebab bawah sinki ni klimatnya suam, gelab dan lembab. Sangat sesuai untuk percambahan biji benih. Sebenarnya tak semestinya bawah sinki. Asalkan tempat itu gelab pun boleh. Kalau tak ada tempat gelab, wajib guna plastik hitam untuk bungkus tapis semaian. Yang penting bagi dia duduk dalam gelab. OK?
  • MENYIRAM. 
    Proses menyiram benih taugeh di bawah pili air. 
    Perasan tak tu ada selapis plastik hitam. Walaupun saya letak bawah sinki dan cabinet bertutup, saya tetap tutup dengan plastik hitam ye. Kalau tengok kat tepi tu ada pinggan dan cawan seramik, ha itulah pemberat yang saya gunakan.

    1. Siram dan ganti air semaian taugeh 2 - 4 kali sehari. Caranya, keluarkan tapis semaian dari dalam plastik hitam atau dari cabinet, alihkan pemberat, buang air yang bertakung di dalam mangkuk atau besen, kemudian lalukan tapis (berisi towel basah dan benih taugeh) di bawah air paip. Guna air paip biasa ye, bukan air panas. (NOTA: jangan diusik-usik kain basah itu. Jangan gatal tangan nak selak-selak atau alih-alihkan kain atau biji benih). Lalukan bawah air sampai sekata. Bagi lama sikit sampai kita yakin air pada kain dah berganti.
    2. Lepas siram, kita letak balik mangkuk atau besen di bawah tapis, letak semula pemberat, masukkan semula dalam plastik hitam dan simpan semula di dalam kabinet bawah sinki. 
    3. Ulang langkah menyiram dan mengganti air ini sebanyak 2 hingga 4 kali sehari. Step ini bergantung pada suhu. Kalau suhu panas kita kena siram lebih kerap kerana kain cepat kering. Kalau suhu lembab dan sejuk, 2 kali sehari sahaja sudah memadai kerana kain kekal lembab. Kita cuma nak elak kain berbau dan taugeh membusuk sahaja. Buat langkah yang sama selama 3 atau 4 hari. 
  • MENUAI. 
    Agak agak macam dah ready, kita selak sikit tengok

    1. Pada hari ke tiga atau ke empat, kita boleh lah selak sedikit kain dan tengok, dah cukup besar ke belum taugeh kita.
    2. Dari segi rupa bentuk dari luar pun, kita akan perasan yang kain dah membukit naik. Itu tandanya taugeh telah naik membesar dan menolak pemberat naik ke atas.
    3. Tuai hasil pada hari ke 4 atau apabila sudah mencapai saiz yang di ingini. 
Macam ini lah rupa dia bila dah jadi taugeh
  • MEMPROSES
    Langkah memproses taugeh agar boleh disimpan dan diguna

    1. Taugeh yang kita buat sendiri perlu di proses sebelum boleh digunakan. Caranya adalah dengan mula-mula, kita potong akar taugeh yang terkeluar dari tapis.
    2. Kemudian, kita boleh lah cabut taugeh keluar dari tapis. Macam cabut rumput. 
    3. Next, taugeh yang kita dah cabut keluar tu kita masukkan kedalam besen atau mangkuk berisi air. Ini bertujuan untuk mengasingkan kulit kacang dari taugeh.
    4. Asingkan taugeh yang bersih ke dalam kolander dan toskan. Toskan sehingga air kering ye.
Lepas potong akar yang terkeluar di bawah tapis, cabut atau tarik keluar taugeh macam ni
  • MENYIMPAN DAN MENGGUNA. 
    1. Taugeh yang sudah diproses boleh disimpan untuk kegunaan akan datang. Berdasarkan pengalaman, homegrown taugeh lebih tahan lama berbanding taugeh yang dibeli. Selepas taugeh di tos dan kering, masukkan ke dalam plastik ziplock dan bolehlah disimpan di dalam peti sejuk. Ia tahan sehingga 1 minggu, atau sehingga taugeh habis diguna.
    2. Kalau nak guna terus pun boleh. Biasanya bila saya buat 1 batch taugeh, saya boleh guna 3 ke 4 kali. Siap-siap je satu batch, satu pertiga dah masuk dalam mee goreng atau soto.
Masukkan dalam mee goreng.... (gambar diambil dari akaun instagram saya)

Atau makan dengan soto ayam. Nyumm sedapnya!
Jemput la follow akaun instagram masak-masak saya ni ye~

Lepas sahaja memproses satu batch, terus saya mula buat batch seterusnya. Dalam masa menunggu batch baru siap, saya dah ada stok taugeh yang boleh diguna. Bila buat cara ini saya akan dapat stok taugeh segar yang tidak putus-putus. 

Tips mendapatkan taugeh yang cantik

Taugeh yang cantik haruslah berwarna putih (tidak lebam atau hitam), gemuk (bukan halus-halus), serta besar dan panjang (tidak pendek-pendek atau bantut). Di sini saya kongsikan 5 tips untuk mendapatkan hasil taugeh yang cantik:

Apa tips nya untuk mendapatkan taugeh yang putih, gemuk, dan cantik?

  • Faktor cuaca dan suhu sangat mempengaruhi pertumbuhan taugeh.

Kalau anda duduk di Malaysia atau Indonesia, anda boleh tuai hasil taugeh pada hari ke 3 atau 4. Tapi kalau anda duduk di negara musim sejuk, macam di Melbourne ni, kena tunggu lama sikit. Dari pengalaman saya, kalau semai waktu musim luruh dan sejuk, ambil masa lebih kurang 1 minggu ke 10 hari untuk mendapatkan saiz taugeh yang diingini. Kalau buat waktu musim panas, kena lebih kerap siram dan ambil masa 4 hari untuk dituai.

Suhu dan cuaca juga mempengaruhi kekerapan kita menyiram benih taugeh. Kalau suhu panas, kena lebih kerap menyiram kerana towel cepat kering. Kalau suhu sejuk, towel lambat kering jadi tak perlu siram terlalu kerap (tapi masih perlu siram juga ya). 

Pendek kata, jangan terkurang siram, dan jangan pula terlebih siram Kalau kurang siram nanti taugeh akan bantut. Kalau terlebih siram taugeh akan menjadi lebam.

  • Pemberat mempengaruhi saiz taugeh

Tanpa pemberat, kacang hijau akan bercambah dan seperti mana-mana sprout yang baru tumbuh, ia akan memanjang mencari cahaya matahari. Pemberat digunakan untuk menghalang percambahan menjadi panjang dan halus. Lebih berat pemberat lebih gemuk lah taugeh kita nanti. Pemberat yang boleh digunakan adalah seperti pinggan mangkuk seramik. Kalau tiada pinggan seramik, boleh juga letak pinggan plastik, atas pinggan plastik tu letak mangkuk, dan dalam mangkuk letak batu lesung. (Boleh bayang tak?). 

Yang penting ada pemberat. Barulah hasilnya nanti akan berupa seperti taugeh; gemuk, tegak dan sedikit bengkok. Kalau ia panjang-panjang dan halus, tak rupa taugeh lah nanti. 

  • Cahaya mempengaruhi warna dan bentuk taugeh

Untuk mendapatkan taugeh yang putih dan lurus, pastikan benih tidak terdedah dengan cahaya sewaktu proses percambahan. Ini kerana benih yang bercambah akan mencari cahaya. Apabila ada cahaya, ia akan mula memanjang ke arah cahaya dan memulakan proses photosistesis. Nanti sprout tu tumbuh daun, jadi hijau, tak jadi lah taugeh nanti. Jadi anak pokok kacang hijau lah pula kan.. haha. 

Jadi, pastikan tempat semaian taugeh gelab gelita. Barulah dapat hasil taugeh yang putih dan cantik.

  • Air mempengaruhi paras rupa dan kesihatan taugeh. 

Walaupun suhu sejuk atau kain towel masih lembab, kita tetap kena siram semaian taugeh setiap hari. Ini bertujuan untuk mengganti air pada kain dan biji benih. Air perlu diganti demi mengelak kain menjadi busuk dan biji benih menjadi hitam. Lalukan bawah air lama-lama sampai kita yakin air pada kain dah berganti.

Guna air paip yang bersih dan tidak dipanaskan. Kalau kurang yakin dengan tahap ketulinan air paip, boleh gunakan air dari mesin penapis air. Air yang bersih akan menjamin hasil yang memuaskan. Kalau air tak bersih, nanti towel mudah contaminated/ mouldy dan taugeh akan rosak.

Begitu juga dengan air yang bertakung di dalam mangkuk. Jangan lupa buang air itu setiap kali kita menyiram taugeh. Air yang bertakung ni pun boleh menjadikan taugeh kita menjadi hitam. Jadi kalau nak dapatkan taugeh yang cantik dan putih, pastikan air yang digunakan sentiasa bersih ya!

  • Kebersihan mempengaruhi warna dan kualiti taugeh. Hidung dan mata sebagai deria 

Sewaktu menyiram, sentiasa peka dengan warna taugeh dan bau yang dikeluarkan. Taugeh yang sihat tidak berbau busuk. Baunya sedap je. Macam bau taugeh lah kan.. hahaha. Bau soya. Jadi, kalau ada bau yang tak menyenangkan atau taugeh mula berwarna hitam atau merah, itu maknanya contamination telah berlaku. Taugeh yang kehitaman atau lebam biasanya berpunca dari air yang tidak bersih, atau towel yang mouldy (kerana terlalu lembab dan air tidak berganti). Sebab itu penting sekali untuk selalu menyiram dan mengganti air pada takungan. 

Itu sahaja. 

Langkahnya mudah sahaja kan? Bahan-bahannya juga ringkas dan murah. Pendek kata sesiapa pun boleh buat taugeh di rumah. Tapi yang membezakan taugeh tu jadi dengan tak berapa jadi itu bergantung pada 5 faktor di atas.

Kalau ikut steps yang diberikan dan patuhi 5 tips yang saya kongsikan ini, insyaallah cantik kejadiannya taugeh kalian nanti. Cubalah!

Kalau berjaya jangan lupa beri tahu ya!


Noor
Carlton North.

Comments

popular posts last week

TIPS MEMAKAI KOLEKSI SKIRT HITAM (dan tips travel!)

Hari simen kaki ku dibuka

Kemas kini gambar passport anak anda

bon voyage!!

Kenapa aku pilih untuk tidak balik konvo: The day my heart holding back.

petshop kat seksyen 9 Shah Alam (tapi cerita premium cat food pulak)