Book review: Merantau ke Deli





Merantau ke Deli. Sebuah karya Hamka yang memberi ku pelbagai rasa. Menzahirkan betapa lemahnya lelaki dan wanita dari sudut berbeza. 

Lemahnya lelaki dengan pujukan keluarga dan orang kampung, sehingga sanggup diduakan isteri tua yang selama ini bergolok gadai bersusah duka membawanya kepuncak jaya. Lemahnya lelaki termakan kata-kata orang kampung sendiri, diketepi isteri yang bukan "orang awak", dibeza-beza isteri kerana yang seorang itu orang jawa seorang lagi sebangsa sekampung (walhal sebelum tidak dipedulinya pula). Lemahnya lelaki dengan tumit merah perawan muda sehingga lupa janji sumpah setia pada isteri tua yang dahulu dipuja, yang sanggup dibawa lari dari tuan besarnya untuk hidup sekangkang kera. Lemahnya lelaki, sekelumit pun tidak mengerti hati seorang wanita yang telah 10 tahun ditemannya tidur sekatil! Lemahnya janji lelaki, tidak ada satu pun boleh dipercaya kerana janji lelaki hanya janji manis darah bergelora.

Lemahnya perempuan bila disentuh soal sayang dan setia, ditolak tepi akal yang waras. Walau tahu hakikat perkahwinan akan berlaku penceraian, namun hati tetap mahu percaya pada ikatan. Walau akal dari awal mengatakan hidup bermadu itu bakal membawanya kelurah jahanam namun kerana setia diserahkan jiwa dan raga. Walau tahu janji suami tidak boleh pakai (kerana telah beberapa kali juga sudah terbukti mungkir) namun tetap mahu berpegang padanya. Walau sedar bedanya orang jawa dengan orang padang itu bagai langit dan bumi, mahu dipercaya juga cinta dan setia mampu mengatasi segalanya. 

Sayang, lelaki hanya lelaki. Akalnya cetek, fikirannya pendek. 
Sayang, wanita hanya wanita. Akalnya panjang fikirannya luas namun ditumpulkan dengan hati.

Begitulah resam kehidupan. 

Karya Hamka jarang happy ending. Kerana karyanya refleksi masyarakat. Bukan dibuat-buat. Bukan fixi. Bukan fantasi cinta yang dibuai-buai. Karya Hamka adalah hakikat sebuah kehidupan. Naik turun lelah dan resah seorang manusia yang berkelana, merantau, bertemu cinta, berjaya, mendua, bercerai, jatuh, kesal, bangkit lagi dan berjalan terus. Apalah yang ada dengan cinta. Kerana kehidupan ini lebih luas dari sekelumit cinta antara lelaki dan wanita.


Buku Merantau ke Deli boleh didapati di kedai buku terkemuka. Dijual pada harga RM15 (aku beli dengan harga RM12 di kedai Popular Aeon Bukit Raja. Murah tapi padat dengan rasa. Bacaan yang ringan tetapi berat dengan pengajaran. Anda akan menghabiskan bacaan dengan satu helaan nafas yang panjang. Jika selama ini kalian berpegang teguh pada adat resam keturunan, mungkin selepas membaca karya Hamka ini akan lebih terbuka akal kalian untuk menimbang semula kewajaran dan rasionalnya mendokong adat sedemikian.

Hamka secara kritis dan sinis menegur adat minangkabau. Jujurnya aku juga agak terkesan dengan penulisan ini kerana aku juga wanita keturunan Minangkabau. Namun seperti mama ku pernah berkali-kali menegaskan sejak dia pulang dari Padang beberapa bulan lepas, "mama taknak mengaku itu asal keturunan kita".

Setelah membaca buku ini, aku juga enggan mengaku itu asal keturunan aku. haha! Saja je nak bagi saspen. Kalau nak tahu baca sendiri. 


Selamat membaca. 


Noor Hida Halim
Klang, Malaysia

Comments

popular posts last week

TIPS MEMAKAI KOLEKSI SKIRT HITAM (dan tips travel!)

Hari simen kaki ku dibuka

Kemas kini gambar passport anak anda

bon voyage!!

cerminku retak seribu

Kenapa aku pilih untuk tidak balik konvo: The day my heart holding back.