Anakku, jangan kau kahwin dahulu

Anakku jangan kau kahwin dahulu. 





Satu hari nanti, akan tiba masanya Juwita menjadi remaja maka ketika itu hanya satu nasihatku, 


Anakku, sebelum kau menemui sang jejaka dan otakmu diracuni idea untuk menamatkan zaman bujangmu sebegitu muda, lihatlah dunia ini anakku, mengembaralah kamu ke pelosok dunia. Luaskanlah penglihatanmu, bukalah hatimu pada kepelbagaian di dunia ini. Lihatlah kebarangkalian yang ada di luar sana. Usah kau sempitkan fikiran mu di bawah tempurung kelapa kerana dunia ciptaan ilahi ini luas, dan bukan di cipta untuk kamu duduk di rumah sahaja. Terbanglah bebas serata dunia kerana kelangsungan kehidupan adalah hasil migrasi spesisnya. 


Tidakkah engkau ingin melihat Al-hamra? 
Berjalan di kota Cordoba? 
Merentasi lembah Himalaya? 
Melihat matahari terbenam di pulau Santorini? 
Memetik buah ceri dari pokok? 
Melihat dengan mata sendiri pokok zaitun tertua di dunia? 
Merasai sendiri enaknya pasta buatan tangan? 
Minum kopi terenak di Melbourne?


Maka sebelum kau ucapkan perkataan "settle down", memilih kenderaan dan rumah yang ingin kau miliki, sebelum kau terjebak dalam cara hidup tipikal manusia normal, fikirkan dahulu 196 negara yang ada di dunia ini dan fikirkan segala peluang dan kemungkinan yang ada terbentang luas untukmu di luar sana. Ibumu ini bukanlah ibu yang akan bercerita tentang berapa gaji yang kamu dapat, jawatan yang kamu sandang, kereta apa yang kamu bawa, rumah apa yang kamu duduki kepada rakan-rakanku. Maka janganlah risau jika rakan-rakanmu satu hari nanti bermegah dengan rumah dan kereta mereka kerana kamu akan miliki lebih dari itu. Kamu akan memiliki pengalaman dan pandangan yang lebih luas dari sekadar pemandangan ke luar tingkap kereta dari rumah ke pejabat sahaja. Kerana sesungguhnya, pemandangan ke luar tingkap dari keretapi trans-Siberia jauh lebih hebat dari itu. 


Pergilah anakku, pergilah jauh-jauh. Kerana ibumu ini juga akan turut berkelana walaupun usia meningkat tua. Jangan sia-siakan usia belia mu memikirkan perkara sia-sia, apatah lagi meracuni fikiranmu dengan jiwang karat dan cinta monyet. Ya, ibumu berkahwin muda. Jangan tanya kenapa kerana ibu juga seperti belia tipikal seusia ku dahulu. Ghairah mengimpikan "fairy-tale" wedding dan termakan dengan angan-angan "happily ever after". Bukan ku menentang perkahwinan, tapi biarlah dirimu terbuka dengan seribu pilihan dahulu sebelum kau membuat keputusan, kerana keputusan tanpa banyak pilihan hanya diselaputi sikap terburu dan kurang tahu. 


Kita wanita hebat anakku. Kita anak dunia. Ayuhlah kita berkelana, mengembara serata dunia.











Comments

popular posts last week

Hari simen kaki ku dibuka

bon voyage!!

Kemas kini gambar passport anak anda

Road to Melbourne. Episode 6: Rekod Pergerakan Keluar Masuk

TIPS MEMAKAI KOLEKSI SKIRT HITAM (dan tips travel!)

amalan bidaah dalam adat melayu. Ya Allah, tunjukkan lah aku jalan yang benar....